Tuesday 21 May 2024

KEPERLUAN PENDIDIKAN ANGGOTA DALAM GERAKAN KOPERASI

Fakta yang ada menunjukkan pengetahuan atau ilmu sangat penting dalam pembangunan sesebuah organisasi dan ini tidak terkecuali dengan Gerakan Koperasi. Memang ada kolerasi antara peningkatan  ilmu dengan kemajuan sebuah organisasi. Begitu juga dalam koperasi, bahkan ianya termaktub dalam prinsip koperasi iaitu pendidikan kepada anggota-anggota koperasi. Pendidikan ini termasuklah menyampaikan maklumat-maklumat penting tentang perjalanan sesebuah koperasi. Kita dapati koperasi yang baik berjalan apabila anggota dan lembaganya mempunyai pengetauan yang luas, terutama mengenai apa yang berlaku dalam koperasi mereka. Sebaliknya pula, koperasi yang bermasalah berlaku apabila anggota dan sebahagian lembaga koperasi tidak mengetahu apa yang koperasi mereka lakukan. Tiada maklumat yang disampaikan kepada anggota anggota mereka.

Kita maklum Institut Koperasi Malaysia (IKMa) , sebuah agensi dibawah Kementerian Usahawan dan Koperasi, bertanggungjawab untuk menyebarkan pendidikan koperasi dalam negara ini. IKMa telah melatih ramai anggota lembaga koperasi dan mengendalikan kursus wajib untuk lembaga. Kumpulan Wang Pendidikan yang disumbang oleh gerakan koperasi telah digunakan dengan sewajarnya.  Dengan adanya latihan ini , kita mengharapkan pengurusan koperasi akan lebih efisyen, profesional, tata kelola yang baik dan yang penting mematuhi perjalanan sebagai sebuah koperasi. Ilmu ini boleh didapati secara formal melalui kursus-kursus yang dihadiri atau secara tidak formal, melalui pengalaman atau pemerhatian dari apa yang berlaku dalam gerakan koperasi.



Namun begitu, tugas memberi pendidikan ini tidak hanya terletak pada IKMa sahaja, koperasi sendiri perlu peka dengan keperluan pendidikan anggota ini. Lembaga koperasi boleh mengambil beberapa langkah antaranya :-

  • menyediakan perancangan atau program pendidikan sendiri,
  • menyediakan budget yang mencukupi,
  • menyediakan skop ilmu yang ingin dipelajari terutama yang berkaitan dengan pengurusan koperasi untuk lembaga dan kakitangan, kemahiran tertentu seperti penjagaan kesihatan untuk anggota, selaian dari menyampaikan ilmu hak hak dan tanggunjawab sebagai anggota koperasi,
  • mohon pengecualian cukai dari kerajaan untuk progran pendidikan anggota ini
  • kerjasama antara koperasi dalam mengendalikan program pendidikan ini.
Dari segi penilaian koperasi terbaik, elok diambil kira faktor pendidikan anggota ini sebagai salah satu kriteria koperasi terbaik negara ini.