Sunday, 18 April 2021

Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025


 Pada 30 mac yang lalu, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Transkom atau Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 - 2025. Pelan ini akan membawa harapan baru kepada Gerakan Koperasi di negara ini supaya lebih tersusun , lebih berwawasan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya anggota-anggota koperasi terutama untuk mencapai matlamat kemakmuran bersama.

Perdana Menteri telah menyebut gerakan koperasi adalah sebagai  'silver bullet' dalam mencapai matlamat tersebut. ini bermakna kerajaan mengakui koperasi, jika diurus dengan baik, boleh mencapai tujuan penubuhannya, sekaligus mencapai matlamat kemakmuran bersama tersebut. Dalam pelan ini , telah dinyatakan 5 bidang yang perlu dilihat dengan tindakan sewajarnya iaitu:-

  • penerapan nilai sejati koperasi, bersamaan dengan nilai kemakmuran bersama. Program promosi peranan koperasi dan kebaikan koperasi  akan dipertingkatkan.

  • pemantapan perundangan dan kawalselia atas koperasi, Beberapa aspek perundangan yang mengekang akan dikaji semula. Koperasi akan ditentukan berjalan dengan teratur dan mencapai maksud penubuhannya.
  • pembangunan modal insan koperasi. Program untuk meningkatkan kemahiran pengurusan koperasi akan diteruskan dengan lebih tersusun. Anggota lembaga koperasi akan dipastikan mempunyai kemahiran asas dalam menguruskan koperasi dengan baik
  • pembentukan persekitaraan perniagaan koperasi yang lebih baik. Usaha telah dibuat untuk mengumpulkan koperasi mengikut sektor dibawah federasi supaya ada rantaian nilai antara mereka. Gerakan koperasi perlu bergerak dibawah satu payung yang tersusun supaya kekuatan koperasi akan lebih nampak dan berimpak.
  • Pemerkasaan badan yang mengawalselia koperasi, khususnya Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam mengawalselia gerakan koperasi di negara ini.
Pastinya pelan ini telah menetapkan sasaran untuk dicapai. Kejayaan pelan ini bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk anggota-anggota koperasi itu sendiri. Sebaiknya kekuatan dalaman dari pengurusan koperasi yang akan memacu kejayaan pelan ini. Untuk itu semua anggota dan pengurusan koperasi hendaklah memahami tujuan pelan ini dan bersama-sama kita menjayakannya.