Sunday, 24 August 2014

Koperasi Sebagai Entiti PKS



KUALA PILAH, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedia mengkaji cadangan mengiktiraf koperasi sebagai sebuah entiti yang didefinisikan sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membolehkan koperasi menikmati pakej insentif dan keistimewaan setaraf dengan sektor PKS. Langkah ini sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi koperasi berteraskan perniagaan sederhana kecil yang perlu disokong bagi meningkatkan daya saing mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2014 di sini.
 Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan. Hari Koperasi Negara bertema 'Memperkukuh Kerjasama Memperkasa Ekonomi' menyaksikan lebih 10,000 ahli koperasi seluruh negara dan pengunjung memenuhi Stadium Mini di sini. Muhyiddin turut menyeru Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengadakan kajian semula pencapaian Dasar Koperasi Negara 2011-2012 sejajar dengan kehendak persekitaran pasaran yang sentiasa dinamik.
 "Kajian semula ini perlulah mengambil kira perancangan dan pelaksanaan projek dan program pembangunan koperasi secara lebih agresif, inklusif dan komprehensif. "Ini termasuklah merancang peruntukan secukupnya dan menambah baik pakej insentif bagi memberi ruang dan peluang yang saksama untuk koperasi menceburi pelbagai bidang perniagaan".

No comments:

Post a Comment