Saturday, 17 August 2024

Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Gerakan Koperasi Malaysia

 

Pelaksanaan Pendigitalan dalam koperasi sudah merupakan satu keperluan, Tahniah pada Institut Koperasi Malaysia (IKMA) yang sedang menjalankan program-program kesedaran untuk koperasi-koperasi di Malaysia memikirkan keperluan untuk melaksanakan pendigitalan koperasi ini. Slide ini merupakan pandangan saya mengenai isu cabaran yang akan atau sedang dihadapi untuk melaksana pendigitalan ini, berdasarkan pemerhatian dan rujukan.

Cabaran Kecerdasan Buatan ( AI) dalam Gerakan Koperasi Malaysia


Sunday, 14 July 2024

Mesyuarat agung koperasi - hilang arah

 Bulan Jun/Julai ini  banyak koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana Akta Koperasi menetapkan koperasi hendaklah mengadakan mesyuarat agung dalam tempoh 6 bulan setelah tamat tahun kewangan beraudit. Seksyen 36,seksyen 39 Akta Koperasi. Melihat dalam sosial media, koperasi-koperasi  rancak mengadakan hebahan mesyuarat agung yang telah dijalankan.

Saya ada hadir sebagai anggota Sebagai punca kuasa tertinggi, Mesyuarat agung koperasi sangat penting dilaksanakan, Apakah kelulusan penting yang perlu diluluskan dalam Mesyuarat Agung. Dalam Undang[undang kecil koperasi telah disenaraikan agenda mesyuarat agung tersebut. Saya ingin mengulas beberapa perkara:-

  • Meluluskan belanjawan tahunan koperasi iaitu untuk tahun kewangan selepas mesyuarat agung tahunan ini sehingga mesyuarat agung yang akan datang.  Perkara ini perlu diteliti, dibahas dan diluluskan. Ini kita memberi kebenaran kepada lembaga koperasi berbelanja. Sebaiknya skop belanjawan ini biar ada detailnya supaya senang difahami dan dipantau. Namum, apa yang berlaku, ianya tidak dibincang secara terperinci,  ikut saja pandangan yang dibuat oleh lembaga berdasarkan syor pengurusan.
  • Meluluskan segala elaun lembaga dan kemudahan kewangan yang lembaga akan terima, termasuk elaun dalam subsidiari /anak syarikat koperasi selepas mesyuarat agung ini. Ini juga setengahnya tidak diterperincikan secara telus. Adakalanya tidak dibentang, hanya mengikut tahun sebelumnya. Kelulusan perbelanhaan elaun lembaga ini mesti diluluskan setiap kali mesyuarat agung, perlu dibentangkan.
  • Meluluskan pelaburan Koperasi, mengikut lebihan yang tidak digunakan.Ini memerlukan kelulusan mesyuarat agung. Setengah anggota dalam mesyuarat agung tidak fikir agenda ini penting. Sepatutnya , lembaga sedia ada perlu membentangkan terperinci apa jenis pelaburan yang akan dibuat selepas mesyuarat agung ini,, bukan lumsup mengikut amaun tahun depan. SKM,  apabila meluluskan pelaburan oleh koperasi akan melihat kelulusan pelaburan yang telah diperolehi dalam mesyuarat agung ini. Jika pelaburan itu merugikan, pastinya akan menjejaskan keduduan kewangan koperasi dan memberi kesan kepada anggota. Sepatutnya dibincangkan dengan teliti dan diluluskan satu persatu.
  • Membentangkan usul-usul yang cukup notis. Perkara ini , juga saya lihat diambil mudah oleh koperasi. Sepatutnya , usul dari anggota yng cukup syarat usul mesti dibncangkan dan diluluskan atau tidak diluluskan. Anggota sebagai tuan punya telah menjalankn tanggungjawabnya memberi usul-usul untuk kebaikan perjalanan koperasi. Masalahnya jika tidak dibincangkan atau tidak tahu status usul tersebut, satu kerugian pada koperasi dan menghina anggota yang membawa usul tersebut. ini satu kesalahan mengikut UUK koperasi itu sendiri.
Banyak perkara boleh saya ulas, tetapi cukup setakat itu dulu. Bagi saya pendidikan kepada lembaga ini penting , juga kepada anggota supaya mereka faham bagaimana mengendalikan mesyuarat agung yang baik, dan menghasilkan keputusan yang tidak boleh dipertikaikan nanti. Pegawai penyelia perlu memainkan peranan membimbing koperasi ini. Garis panduan yag ada perlu dikemaskinikan dengan contoh-contoh yang baik.Semuga ada pembaikan sewajarnya dalam mesyuarat agung yang akan datang.

Monday, 17 June 2024

MEMARTABATKAN ANGGOTA KOPERASI -CBP

 InsyaAllah , saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai anggota lembaga Bank Koperasi Pertama (CBP) yang mesyuarat agung perwakilannya akan diadakan pada hujung Jun tahun 2024. Sebagai mantan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ini merupakan pengalaman pertama untuk bertanding sebagai lembaga koperasi. Kalau dulu, kita tidak dibenarkan menjadi mana-mana lembaga koperasi kecuali koperasi kakitangan SKM sebab ada kepentingan kerana kita sebagai badan penyelia koperasi.

Ini juga dapat melihat keberadaan saya secara aktif dalam gerakan koperasi ini boleh diterima oleh koperasi-koperasi. Dulu , kita sebagai pendaftar, pastiya koperasi ikut apa yang diarahkan. Sebagai pejuang koperasi, perjuangan ini mesti diteruskan sehingga tiada kemampuan lagi.


Hasrat untuk bertanding sebagai anggota lembaga CBP ini didorong oleh beberapa sebab antaranya:
  • sebagai sebuah bank koperasi, dulunya Bank Persatuan, peranan utama koperasi bank ini adalah membantu anggota-anggotanya, terutama  koperasi=koperasi yang menjadi anggotanya dengan menyediakan kemudahan pinjaman mudah, mesra peraturan dan pemantauan bersama yang berkesan. Itu sebab tema saya "Memartabatkan anggota Koperasi" Saya melihat usaha ini boleh dipertingkatkan oleh CBP
  • Sebagai bank koperasi, dimana tuan punyanya ialah anggota=anggota koperasi, elok kiranya bank koperasi membantu perniagaan koperasi atau individu yang meminjam dari segi khidmat nasihat perniagaan. Kita sepatutnya berbeza dengan bank swasta. Kita mesti saling membantu. Peranan lembaga menentukan hala tuju koperasi, dari segi pengurusan , bank koperasi ini telah mempunyai tenaga profesional yang berkebolehan . Motif keuntungan dengan kebajikan anggota perlu diseimbangkan,
  • Pengalaman saya sebagai penyelia koperasi lebih 38 tahun, InsyaAllah saya dapat membantu dalam tadbir urus yang baik mengikut Akta Koperasi dan Undang=undang Kecil Koperasi dan peranan jangka panjang koperasi ini.  InsyaAllah, jika dapat digabungkan juga semua koperasi kredit dibawah satu payung yang CBP juga menjadi penerajunya, saya yakin gerakan kita menjadi lebih kuat dan tersusun. Itulah tujuan Federasi Koperasi yang kita terlibat dalam penubuhannya dulu.
Kalah menang adat pertandingan, yang penting kita sentiasa membantu gerakan koperasi terus berkesan dan mencapai objektif penubuhannya.


Tuesday, 21 May 2024

KEPERLUAN PENDIDIKAN ANGGOTA DALAM GERAKAN KOPERASI

Fakta yang ada menunjukkan pengetahuan atau ilmu sangat penting dalam pembangunan sesebuah organisasi dan ini tidak terkecuali dengan Gerakan Koperasi. Memang ada kolerasi antara peningkatan  ilmu dengan kemajuan sebuah organisasi. Begitu juga dalam koperasi, bahkan ianya termaktub dalam prinsip koperasi iaitu pendidikan kepada anggota-anggota koperasi. Pendidikan ini termasuklah menyampaikan maklumat-maklumat penting tentang perjalanan sesebuah koperasi. Kita dapati koperasi yang baik berjalan apabila anggota dan lembaganya mempunyai pengetauan yang luas, terutama mengenai apa yang berlaku dalam koperasi mereka. Sebaliknya pula, koperasi yang bermasalah berlaku apabila anggota dan sebahagian lembaga koperasi tidak mengetahu apa yang koperasi mereka lakukan. Tiada maklumat yang disampaikan kepada anggota anggota mereka.

Kita maklum Institut Koperasi Malaysia (IKMa) , sebuah agensi dibawah Kementerian Usahawan dan Koperasi, bertanggungjawab untuk menyebarkan pendidikan koperasi dalam negara ini. IKMa telah melatih ramai anggota lembaga koperasi dan mengendalikan kursus wajib untuk lembaga. Kumpulan Wang Pendidikan yang disumbang oleh gerakan koperasi telah digunakan dengan sewajarnya.  Dengan adanya latihan ini , kita mengharapkan pengurusan koperasi akan lebih efisyen, profesional, tata kelola yang baik dan yang penting mematuhi perjalanan sebagai sebuah koperasi. Ilmu ini boleh didapati secara formal melalui kursus-kursus yang dihadiri atau secara tidak formal, melalui pengalaman atau pemerhatian dari apa yang berlaku dalam gerakan koperasi.



Namun begitu, tugas memberi pendidikan ini tidak hanya terletak pada IKMa sahaja, koperasi sendiri perlu peka dengan keperluan pendidikan anggota ini. Lembaga koperasi boleh mengambil beberapa langkah antaranya :-

  • menyediakan perancangan atau program pendidikan sendiri,
  • menyediakan budget yang mencukupi,
  • menyediakan skop ilmu yang ingin dipelajari terutama yang berkaitan dengan pengurusan koperasi untuk lembaga dan kakitangan, kemahiran tertentu seperti penjagaan kesihatan untuk anggota, selaian dari menyampaikan ilmu hak hak dan tanggunjawab sebagai anggota koperasi,
  • mohon pengecualian cukai dari kerajaan untuk progran pendidikan anggota ini
  • kerjasama antara koperasi dalam mengendalikan program pendidikan ini.
Dari segi penilaian koperasi terbaik, elok diambil kira faktor pendidikan anggota ini sebagai salah satu kriteria koperasi terbaik negara ini.

Tuesday, 2 April 2024

Gerakan Koperasi Agak Malap Selepas 100 Tahun

 Salam Ramadan. 

Saya lihat kegiatan dan peranan kerajaan dalam membantu Gerakan Koperasi negara ini nampak agak malap. Tiada nampak inisiatif-inisiatif  baru yang dilancarkan, kebanyakkan program-program lama yang dikitar semula. Bahkan , gerakan koperasi juga tidak ada peranan dalam kongress bumiputera yang diadakan baru-baru ini. Walhal, hampir 90% bumiputera terlibat dalam kegiatan koperasi negara ini, khususnya di kawasan Felda, Risda,, nelayan, Guru guru, tentera dan polis. Sepatutnya dalam keadaan ekonomi yang susah, kerajaan melihat kepentingan gerakan koperasi ini dan membantu gerakan koperasi dengan inisiatif baru dan program yang berkesan.

Agaknya isu kekurangan  kepimpinan mereka yang boleh membawa hala tuju gerakan koperasi. Agaknya mereka pun kurang faham  apa koperasi boleh lakukan.  Pembuat dasar masih tidak memandang gerakan koperasi negara ini boleh membantu kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup. Padahal , jika dilihat sejarah penubuhan koperasi di dunia ini, adalah untuk membantu anggota-anggotanya yang susah supaya dapat kemudahan melalui penglibatan mereka dalam koperasi. Oleh kerana koperasi itu mereka punya, dikendalikan sendiri, pastinya kos barangan dan perkhidmatan yang mereka langgan adalah dengan harga yang berpatutan.



Saya berdoa dan berharap, kerajaan dan pembuat dasar lihat kepentingan koperasi dinegara ini. Kewujudan gerakan koperasi dinegara ini melebihi 100 tahun  dan masih relevan. Bantulah koperasi dengan program yang berinovatif, Bantulah bimiputera melalui Gerakan koperasi. Gembelingkan mereka yang mahir dalam bidang ini, ramai lembaga koperasi yang berjiwa besar dan berilmu. Libatkan mereka dalam merancang pembangunan koperasi. Masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

Wednesday, 24 January 2024

Mesyuarat Agung Kawasan Koperasi

 Awal tahun ini, kebanyakkan koperasi sedang mengadakan Mesyauart Agung Kawasan untuk memilih perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan, selain dari membincangkan deraf akaun koperasi serta membawa usul usul untuk dibawa ke mesyuarat agung tahunan tersebut. Mengadakan Mesyuarat kawasan ini selaras dengan kehendak Akta Koperasi dan Undang-undang Kecil koperasi. Setelah bersara ini, saya juga akan menewarkan diri untuk menjadi perwakilan dalam Mesyuarat Agung Bank Pertama Malaysia (dulu Bank Persatuan) . Dulu sebagai pegawai menyelia koperasi SKM, tiada kesempatan untuk merasai proses ini. 

Ada dua jenis mesyuarat agung , satu yang memerlukan mesyuarat agung kawasan untuk memilih perwakilan dalam mesyuarat agung tahunan, dan ada koperasi yang terus mengadakan mesyuarat agung tahunan yang mana semua anggotanya yang layak boleh hadir. Selalunya , koperasi yang perlu mengadakan mesyuarat agung kawasan dulu adalah kerana kawasan operasnya lebih besar, anggota yang ramai dan telah ditetapkan dalam undang-undang kecil koperasi. Taraf perwakilan ini layak untuk dua tahun.



Dengan adanya mesyuarat kawasan ini, semua anggota mempunyai peluang untuk bersama dalam memberi pandangan mengenai perjalanan koperasi mereka. Anggota koperasi yang hebat adalah anggota yang mengambil tahu perjalanan koperasi mereka, terutama kedudukan kewangan koperasi. Pastinya lembaga koperasi akan berusaha keras untuk menunjukkan keadaan yang baik dalam koperasi semasa mereka menjadi lembaga. Anggota yang hebat akan menggunakan peluang ini untuk memberi pandangan bagaimana meningkatkan lagi kemajuan koperasi, dan yang penting dapat memberi dividen kepada anggotanya.

Ini juga peluang kepada lembaga koperasi untuk memperjelaskan lagi hala tuju koperasi, dan mendapatkan maklumbalas dari anggota-anggotanya. Tetapi ada yang datang kerana mengharapkan elauan kehadiran saja dan tidak ambil pusing dalam agenda yang dibentangkan.

Selamat bersidang.